BERITA SEMASA

Ancaman siber: Rakyat diminta tenang namun perlu sentiasa bersedia – PM

KUALA LUMPUR – Rakyat diminta kekal tenang namun perlu sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan Malaysia menjadi sasaran serangan siber dan ancaman keselamatan susulan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang memantau perkembangan itu setiap hari, selain memperkukuh kesiapsiagaan negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan terhadap keselamatan digital dan infrastruktur strategik.

Beliau berkata, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam membincangkan beberapa langkah termasuk meningkatkan penyelarasan antara kementerian dan agensi serta memperkukuh keupayaan menghadapi ancaman dari dalam dan luar negara.

“Tenang tapi harus waspada. Jika ada apa-apa maklumat mengenai pencerobohan atau gangguan dari segi digital dan teknologi, ini harus dimaklumkan segera.

“Bagaimanapun, saya fikir, jika kita panik, hal itu akan melemahkan kita,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada perlindungan infrastruktur dan sektor strategik negara termasuk tenaga, pengangkutan, kewangan serta bekalan makanan, selain meningkatkan keupayaan agensi melalui penggunaan teknologi.

Menurut beliau, kerajaan memilih untuk mendedahkan perkembangan itu kepada Parlimen supaya rakyat mengetahui tahap ancaman semasa tanpa menimbulkan kebimbangan berlebihan.

Beliau berkata, beberapa negara mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal, termasuk menasihatkan rakyat masing-masing menyimpan bekalan makanan bagi menghadapi kemungkinan gangguan dalam tempoh ketidaktentuan antarabangsa.

“Sesetengah negara mengadakan beberapa pertemuan darurat sekarang tapi semalam, perbincangan kita tidak sampai ke situ, cuma dimaklumkan.

“Jika semalam keputusannya mendesak, saya akan panggil mesyuarat tergempar segera, tak tunggu Jumaat dan keadaan ini, kita pantau saban hari sekarang,” katanya.

Anwar turut memberi gambaran mengenai keseriusan ancaman siber dengan merujuk beberapa insiden di luar negara yang menjejaskan sistem pentadbiran dan keselamatan.

Antaranya, serangan siber di Belgium yang memaksa Kementerian Kewangan negara itu menutup portal cukai kebangsaan, manakala pencerobohan di Denmark menjejaskan daftar penduduk pusat sehingga membabitkan rekod pengenalan hampir sembilan juta orang.

Di Amerika Syarikat, sistem fail Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan dilaporkan terganggu selama 41 jam menjelang pilihan raya Senat, sementara serangan di Jepun mendedahkan maklumat peribadi lebih 100,000 anggota polis sehingga menjejaskan operasi di beberapa daerah.

“Kita tidak boleh berfikir bahawa ancaman ini jauh daripada kita, kerana apa yang berlaku di Eropah, AS dan Jepun membimbangkan negara masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun turut menasihatkan rakyat mereka supaya menyediakan bekalan makanan untuk tempoh antara tiga hingga 10 hari sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan global.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia setakat ini belum mengeluarkan arahan kepada rakyat supaya membuat persediaan kecemasan seperti itu.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, kapasiti bekalan makanan negara mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan, sekali gus tidak memerlukan langkah kecemasan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan barangan keperluan asas ketika ini.

“Kita tidak nampak adanya keperluan ke arah itu kerana dari segi keterjaminan makanan dan tahap simpanan, ia mencukupi.

“Kita tahu bahawa sekurang-kurangnya kita mempunyai kapasiti selama enam bulan dari segi keterjaminan makanan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button