14 individu ditahan halang operasi penguatkuasaan di Bera
BERA – Seramai 14 individu dipercayai Orang Asli ditahan selepas didakwa menghalang pasukan penguat kuasa menjalankan operasi di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera (RAMSAR), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kesemua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita yang ditahan selepas bertindak menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang.
Menurut beliau, operasi penguatkuasaan itu dijalankan kira-kira jam 10 pagi semalam membabitkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Ketika operasi sedang dijalankan, sekumpulan individu dipercayai Orang Asli telah mendirikan halangan dan membuat provokasi terhadap pasukan penguat kuasa daripada menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang.
“Susulan itu, seramai 10 lelaki dan empat wanita telah ditangkap kerana bertindak menghalang pihak penguat kuasa daripada menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan media.
Zulkiflee berkata, kesemua tangkapan ditahan untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih atau sebarang maklumat yang salah sehingga boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu ketenteraman awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








