BERITA SEMASA

Citra Nusa@Muzium 2025 tonjol warisan peribumi ASEAN, perkukuh perpaduan

KUALA LUMPUR – Program Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 berjaya menghimpunkan komuniti Orang Asal dan peribumi dari seluruh negara, selain menonjolkan keunikan budaya masyarakat peribumi dari Thailand, Indonesia dan Filipina dalam satu platform kebudayaan serta kesenian.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, inisiatif itu signifikan dalam usaha mengiktiraf, melindungi dan memperkasakan komuniti peribumi secara berterusan dan inklusif.

“Malaysia sebagai negara majmuk sentiasa menekankan kepentingan pemeliharaan warisan budaya khususnya warisan masyarakat peribumi dan Orang Asal yang menjadi khazanah tidak ternilai kepada negara dan rantau ini,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Muzium Negara, hari ini.

Menurutnya, data Jabatan Perangkaan Malaysia dan laporan antarabangsa menunjukkan komuniti Orang Asli dan peribumi membentuk sebahagian besar penduduk di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Di Sabah, daripada kira-kira 3.81 juta penduduk, lebih 2.23 juta adalah penduduk asal termasuk Kadazan-Dusun, Bajau dan Murut iaitu sekitar 59 peratus daripada jumlah populasi.

“Di Sarawak pula, daripada 2.71 juta penduduk, lebih 1.93 juta adalah komuniti peribumi seperti Iban, Bidayuh dan Melanau iaitu sekitar 71 peratus daripada populasi negeri.

“Sementara itu, komuniti Orang Asli di Semenanjung Malaysia berjumlah sekitar 217,000 orang terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu Senoi, Melayu Proto dan Negrito,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran festival itu selari dengan tema Kementerian Perpaduan Negara tahun ini iaitu ‘Harmoni dalam Kepelbagaian’ kerana memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan pelbagai budaya, seni dan warisan masyarakat Orang Asli dan peribumi dari negara ASEAN.

“Program seperti itu memberi nilai tambah besar kepada institusi muzium sebagai platform memperkasa naratif kepelbagaian dan warisan negara selain menyemarakkan semangat perpaduan serta patriotisme,” katanya.

Saraswathy turut menggesa Jabatan Muzium Malaysia memperkasa peranan Muzium Adat di Negeri Sembilan sebagai pusat rujukan utama mempromosikan kepelbagaian warisan adat dan budaya etnik di Malaysia.

Katanya, langkah itu boleh direalisasikan melalui pengumpulan koleksi lebih luas, memperkukuh program pendidikan dan menjalin kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi, NGO dan komuniti tempatan.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Bahrin A. Kasim

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Bahrin A. Kasim berkata, festival itu melibatkan tiga kumpulan utama masyarakat Orang Asli di Malaysia iaitu Melayu Proto, Senoi dan Negrito, merangkumi 27 sub-etnik dari seluruh negara termasuk Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, antara etnik dari rantau ASEAN yang ditonjolkan ialah Mentawai dari Indonesia, Karen dari Thailand serta Yeta atau Negrito dari Filipina.

“Festival itu bermula sejak 2017 dalam skala kecil, namun terhenti ketika pandemik Covid-19 sebelum disambung semula pada tahun ini dengan liputan lebih meluas merangkumi etnik di Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak menetapkan sasaran khusus jumlah pengunjung tetapi menjangkakan sekurang-kurangnya 10,000 orang akan hadir memandangkan ia diadakan serentak dengan pameran ASEAN, pameran Opera Cina dan pameran di Muzium Negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button