DALAM era globalisasi pendidikan yang semakin kompetitif, Malaysia berpotensi besar muncul sebagai hab ilmu serantau di Asia Tenggara.
Ketika negara mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, perhatian dunia tertumpu kepada aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan mobiliti akademik ASEAN.
Kini, dengan lebih 130,000 pelajar antarabangsa dari lebih 160 negara, Malaysia bukan sekadar destinasi pembelajaran, tetapi medan pertembungan ilmu dan budaya yang menghubungkan pelajar, penyelidik serta institusi pendidikan tinggi di seluruh rantau.

Pensyarah Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Dr. Saw Teck Chew menjelaskan, status Malaysia sebagai hab pendidikan memerlukan pendekatan menyeluruh yang menekankan kualiti pengajaran, kerjasama akademik serantau, penyelidikan berimpak tinggi serta integrasi teknologi digital dalam pendidikan.
“Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menawarkan program berkualiti, dikendalikan oleh pensyarah berkemahiran dan disokong biasiswa menarik untuk pelajar antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah, kemudahan moden seperti makmal canggih, perpustakaan digital dan persekitaran kampus kondusif menjadi antara daya tarikan utama pelajar luar negara. Namun, kekuatan sebenar Malaysia terletak pada kemampuannya mengimbangi antara pendidikan formal dan pembangunan sahsiah pelajar.
Selain aspek pengajaran, Dr. Saw menegaskan kepentingan memperkukuh penyelidikan bersama antara universiti ASEAN, agar Malaysia bukan sahaja menjadi pusat pengajaran, tetapi juga hab inovasi dan pengetahuan.
“Kerjasama penyelidikan mampu melonjakkan reputasi akademik Malaysia di peringkat global,” ujarnya sambil menambah bahawa penglibatan industri dalam kurikulum turut menjadi pemangkin kepada kebolehpasaran graduan.
“Pembelajaran masa kini tidak lagi terhad dalam bilik kuliah. Latihan praktikal memberi pelajar kelebihan memahami realiti pasaran kerja,” jelasnya.
Mengulas cabaran utama, Dr. Saw menjelaskan bahawa perbezaan bahasa dan budaya sering menjadi penghalang dalam integrasi pelajar antarabangsa. Namun katanya, IPT di Malaysia kini lebih bersedia dengan sistem sokongan yang meliputi program orientasi, bimbingan akademik dan inisiatif penyesuaian budaya.
“Banyak universiti kini memperluas penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran serta menyelaraskan kurikulum dengan piawaian antarabangsa,” ujarnya.
Selain itu, program pertukaran pelajar dan pensyarah yang semakin meluas di rantau ASEAN membantu membina jaringan akademik kukuh, seterusnya mempercepat integrasi pendidikan serantau.
Menurut Dr. Saw, dasar pendidikan Malaysia juga perlu memastikan akses yang luas tanpa mengorbankan mutu akademik.
“Pendidikan inklusif tidak boleh dijadikan alasan untuk menurunkan standard pengajaran. Fokus utama ialah mengekalkan kualiti sambil memperluas peluang,” katanya.
Beliau mencadangkan penilaian dan akreditasi pendidikan yang ketat, disokong oleh kerjasama antarabangsa bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dan dihormati sebagai destinasi pendidikan unggul.
Selain itu, dalam landskap pendidikan moden, teknologi digital dan pembelajaran hibrid juga menjadi tunjang utama mobiliti akademik.
Menurut Dr. Saw, penggunaan platform digital dan pembelajaran dalam talian (ODL) membolehkan pelajar antarabangsa menimba ilmu tanpa terikat kepada jarak fizikal.
Beliau turut menekankan pentingnya webinar, sesi kolaborasi maya dan perkongsian sumber digital untuk memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan rentas negara.
Selain aspek akademik, Dr. Saw mengingatkan bahawa pembangunan hab ilmu serantau tidak boleh mengabaikan identiti budaya ASEAN.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Hasrina Mustafa berpendapat, usaha menjadikan Malaysia hab ilmu perlu diperkukuh melalui kerjasama strategik sesama negara ASEAN.
Beliau mencadangkan agar negara-negara ASEAN saling melengkapi dalam bidang kepakaran masing-masing.
“Setiap negara perlu menonjolkan niche tersendiri. Contohnya, Thailand dalam pertanian, Vietnam dalam industri maritim, manakala Malaysia boleh menjadi peneraju dalam bidang kejuruteraan dan teknologi,” katanya.
Dr. Hasrina menegaskan, strategi itu bukan sahaja mengukuhkan mobiliti pelajar serantau tetapi turut memaksimumkan potensi kepakaran kolektif ASEAN dalam mendepani cabaran global pendidikan.
Dengan dasar yang jelas dan pelaksanaan terancang, Malaysia berpotensi besar menjadi hab ilmu serantau yang berdaya saing dan inklusif.
Sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Malaysia kini berada pada posisi strategik untuk memperlihatkan kapasiti pendidikan serantau serta memacu kerjasama akademik yang lebih erat di Asia Tenggara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








