Kehadiran Trump ke Malaysia bukan tanda kompromi isu Palestin – Reezal Merican
KUALA LUMPUR – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan ini bukan jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau rakyat negara ini, sebaliknya memenuhi tanggungjawab rasmi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan, kunjungan itu tidak membawa maksud Malaysia berkompromi atau melupakan perjuangan rakyat Palestin.m.
Sebaliknya, katanya, ia menjadi peluang penting untuk Malaysia menggunakan platform ASEAN bagi menyampaikan mesej tegas kepada Trump secara bersemuka tanpa berselindung.
“Malaysia percaya, pendirian yang tegas dan konsisten di pentas antarabangsa adalah bukti bahawa isu Palestin tidak pernah luput daripada keutamaan kita.
“Selagi kezaliman berlaku, selagi itu Malaysia akan bersuara lantang di hadapan mana-mana kuasa besar sekalipun,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Baca juga : Trump ke ASEAN peluang Malaysia tegaskan isu Palestin – Fahmi
Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata Malaysia akan terus menegaskan pendirian jelas menolak sebarang bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin dan menyokong penuh hak mereka untuk merdeka serta berdaulat.
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggunakan kunjungan Trump sebagai platform diplomasi untuk menyuarakan isu Palestin dengan tegas dalam mempertahankan kebenaran namun dengan pendekatan berstrategi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur itu turut dijangka menghimpunkan beberapa pemimpin dunia termasuk dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








