LUAR NEGARA

Kerajaan AS kembali beroperasi, Trump tandatangani RUU pembiayaan persekutuan

WASHINGTON – Setelah hampir enam minggu kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) terpaksa ditutup, Presiden Donald Trump menandatangani rang undang-undang (RUU) pembiayaan persekutuan yang menamatkan penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah negara itu.

Tindakan tersebut dilakukan kira-kira dua jam selepas Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang yang sebelum ini mendapat kelulusan Senat sekali gus menamatkan 43 hari penutupan kerajaan, menurut laporan Reuters.

Dalam sesi pengundian, seramai 222 ahli Kongres menyokong rang undang-undang itu, manakala 209 lagi menentang, manakala Senat meluluskannya pada Isnin lalu.

Rang undang-undang itu akan melanjutkan pembiayaan kerajaan AS sehingga 30 Januari 2026.

Langkah itu meletakkan kerajaan persekutuan AS di landasan untuk terus menambah kira-kira USD 1.8 trilion (RM7.435 trilion) setahun kepada hutangnya yang kini mencecah USD 38 trilion (RM156.96 trilion).

Sebelum pengundian, Speaker Dewan Republikan, Mike Johnson menuduh Demokrat menggunakan rakyat sebagai “alat tawar-menawar politik” sambil menegaskan Republikan telah mengundi sebanyak 15 kali untuk membuka semula kerajaan, berbanding 14 kali undian Demokrat untuk menutupnya.

Perjanjian itu turut mencetuskan kemarahan dalam kalangan Demokrat yang mahu terus bertegas, termasuk Gabenor Illinois, JB Pritzker yang menyifatkan kompromi itu sebagai “janji kosong”.

Penganalisis politik, David Smith pula menegaskan bahawa perjanjian itu hanya merupakan “penyelesaian sementara” yang berisiko membawa kepada penutupan semula kerajaan pada Januari sekiranya tiada persetujuan baharu dicapai.

Antara senator Demokrat yang menyokong pakej itu termasuk Dick Durbin (Illinois), John Fetterman (Pennsylvania), Catherine Cortez Masto dan Jackie Rosen (Nevada), Maggie Hassan dan Jeanne Shaheen (New Hampshire) serta Tim Kaine (Virginia).

Senator bebas dari Maine, Angus King, turut menyokong rang undang-undang tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button