Hadiah Nobel Keamanan 2025: Maria Corina Machado dinobat, Trump tidak terpilih
WASHINGTON – Donald Trump gagal memenangi Hadiah Nobel Keamanan 2025 meskipun dicalonkan beberapa pihak yang mengiktiraf jasa Presiden Amerika Syarikat itu mendamaikan hubungan diplomatik antara beberapa negara.
Jawatankuasa Nobel Norway memutuskan untuk menganugerahkan hadiah berprestij itu kepada ketua pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado atas usaha gigihnya mempromosikan hak demokratik dan membawa negara itu ke arah peralihan demokrasi.
Machado, 58, seorang jurutera industri yang kini hidup dalam persembunyian selepas dihalang daripada bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024, mendedikasikan anugerah tersebut kepada rakyat Venezuela dan juga Trump atas ‘sokongan tegas’ mereka terhadap perjuangan rakyat Venezuela.
Dalam kenyataan di media sosial, beliau menulis:
“Kami kini berada di ambang kemenangan dan hari ini, lebih dari sebelumnya, kami bergantung kepada Presiden Trump, rakyat Amerika Syarikat, rakyat Amerika Latin serta negara-negara demokratik di seluruh dunia sebagai sekutu utama kami untuk mencapai kebebasan dan demokrasi,” katanya.
Penganugerahan itu dilihat sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap perjuangan pro-demokrasi di Venezuela.
Selain itu, ia turut memberi tekanan berterusan terhadap pemerintahan rejim Nicolas Maduro yang sering dikritik oleh masyarakat antarabangsa kerana pencabulan hak asasi manusia dan manipulasi sistem pilihan raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








