LUAR NEGARA

Pemimpin EU tolak tuntutan Trump bantu pastikan Selat Hormuz selamat dilalui

DUBAI – Para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menolak tuntutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya membantu memastikan laluan Selat Hormuz selamat dilalui.

Antaranya, Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul berkata, Berlin tidak berhasrat menyertai operasi ketenteraan sepanjang konflik AS–Israel dengan Iran di rantau Asia Barat, lapor Al-Jazeera.

“Kami memerlukan gambaran yang lebih jelas (mengenai situasi). Kami menjangkakan AS dan Israel memaklumkan kepada kami, melibatkan kami dalam apa yang mereka lakukan di sana dan memberitahu kami sama ada matlamat itu telah dicapai.

“Apabila kami mempunyai gambaran yang jelas, kami percaya perlu bergerak ke fasa seterusnya, iaitu menentukan seni bina keselamatan bagi seluruh rantau ini bersama negara-negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri perhimpunan EU di Brussels, semalam.

Sementara itu, dari BERLIN, Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius berkata walaupun tiada “penyertaan ketenteraan” daripada negaranya, Jerman bersedia menyokong usaha diplomatik “bagi memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz.”

“Ini bukan perang kami. Kami tidak memulakannya.

“Apa yang Trump harapkan beberapa buah kapal frigat Eropah lakukan di Selat Hormuz yang tidak dapat dilakukan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat yang jauh lebih berkuasa?” kata Pistorius.

Turut bercakap dari Berlin, jurucakap kepada Canselor Jerman, Friedrich Merz berkata, konflik itu “tiada kaitan dengan NATO”.

Jurucakap itu, Stefan Kornelius memberitahu wartawan bahawa NATO adaah satu “pakatan untuk mempertahankan wilayah”, sambil menambah bahawa “mandat untuk mengerahkan NATO tidak wujud”.

Pendirian Jerman turut disokong oleh rakan anggota NATO, United Kingdom (UK).

Dari LONDON, Perdana Menteri UK, Keir Starmer menjelaskan misi di Selat Hormuz “… ia bukan, dan tidak pernah dirancang untuk menjadi, misi NATO.”

Starmer turut menegaskan, UK tidak akan “terheret ke dalam perang yang lebih luas”.

Beliau bagaimanapun berkata, UK sedang berbincang dengan AS serta sekutu di Eropah dan Teluk mengenai kemungkinan menggunakan dron pemburu periuk api miliknya yang sudah berada di rantau tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button