LUAR NEGARA

EU sepakat sekat pendatang haram Israel susulan keganasan di Tebing Barat

BRUSSELS – Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) akhirnya mencapai persetujuan untuk mengenakan sekatan baharu terhadap pendatang haram Israel susulan peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat menteri luar EU semalam, ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak terhadap peluasan penempatan haram Israel dan tindakan ganas pendatang haram terhadap penduduk Palestin.

Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata, para menteri luar negara anggota EU telah meluluskan langkah sekatan berkenaan.

“Sudah tiba masanya kita beralih daripada kebuntuan kepada pelaksanaan,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Bagaimanapun, EU masih belum mengumumkan senarai individu dan entiti yang akan dikenakan sekatan.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot berkata, sekatan itu turut menyasarkan pertubuhan utama Israel serta pemimpin mereka yang didakwa menyokong penjajahan ekstremis dan ganas di Tebing Barat.

Beliau menegaskan tindakan berkenaan adalah serius dan tidak boleh diterima serta perlu dihentikan segera.

Dalam pada itu, diplomat EU dilaporkan gagal mencapai kata sepakat mengenai langkah lebih tegas termasuk larangan terhadap produk dari penempatan haram Israel di Tebing Barat dan cadangan menggantung perjanjian perdagangan utama dengan Israel.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), lebih 5,900 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal sejak 2023 akibat keganasan pendatang haram Israel, termasuk hampir 2,000 orang pada tahun ini sahaja.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button