BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump ‘renew’ amaran kepada Hamas dengan ugutan serangan skala besar

FLORIDA Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran keras kepada Hamas supaya melucutkan senjata dalam tempoh singkat dengan ancaman tindakan tegas sekiranya kumpulan itu gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Trump turut menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan ‘menghapuskan dengan pantas’ serta menggagalkan sebarang usaha Iran untuk membangunkan semula program nuklearnya.

Ancaman itu disuarakan Trump pada Isnin selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di resort miliknya di Mar-a-Lago, Florida.

Menurut Trump, perbincangan mereka tertumpu kepada usaha mengukuhkan perjanjian gencatan senjata di Gaza yang dimeterai sebelum ini, selain kebimbangan Israel terhadap Iran dan kumpulan Hizbullah di Lubnan.

Trump mendakwa Israel telah memenuhi komitmennya dalam pelaksanaan gencatan senjata, walaupun serangan hampir setiap hari dilaporkan terus berlaku di Gaza sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 400 nyawa, dan menegaskan Hamas perlu mematuhi perjanjian yang dipersetujui.

“Kami berbincang mengenai Hamas dan isu pelucutan senjata. Mereka akan diberi tempoh yang sangat singkat untuk melucutkan senjata, dan kita akan lihat apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Trump turut memberi amaran bahawa kegagalan Hamas untuk berbuat demikian akan membawa akibat yang buruk.

“Jika mereka tidak melucutkan senjata seperti yang dipersetujui, maka akan ada padah besar menanti mereka,” katanya.

Setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap ancaman tersebut.

Fasa pertama gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu memperuntukkan pertukaran tawanan Israel yang ditahan Hamas dengan tahanan dan banduan Palestin di penjara Israel, peningkatan kemasukan bantuan kemanusiaan serta pengunduran sebahagian tentera Israel dari Gaza.

Bagaimanapun, Hamas masih belum menyerahkan mayat seorang tawanan Israel manakala Israel didakwa terus melancarkan serangan, mengetatkan kemasukan bantuan serta melengah-lengahkan pembukaan pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump menyalahkan sepenuhnya Hamas atas kelewatan peralihan kepada fasa kedua gencatan senjata, meskipun kumpulan itu sebelum ini menegaskan tidak akan menyerahkan senjata selagi pendudukan Israel di wilayah Palestin berterusan namun bersedia mengetepikan senjata dan mencadangkan gencatan senjata jangka panjang selama tujuh hingga 10 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button