BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Trump umum tarif produk Malaysia naik 25 peratus

KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump telah mengutus sepucuk surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan bahawa tarif import ke atas semua produk dari Malaysia akan dinaikkan kepada 25 peratus bermula 1 Ogos ini.

Surat bertarikh 7 Julai 2025 yang dihantar dari Rumah Putih itu menyatakan keputusan tersebut dibuat berikutan defisit perdagangan yang besar dan berpanjangan antara kedua-dua negara, selain dakwaan bahawa hubungan perdagangan sedia ada tidak bersifat timbal balik.

Menurut Trump, tarif baharu itu dikenakan ke atas semua barangan yang dieksport dari Malaysia ke AS tanpa mengira sektor, termasuk penghantaran melalui kaedah pindah kapal yang turut akan dikenakan kadar sama.

Beliau menyifatkan kadar 25 peratus itu masih rendah berbanding jumlah yang diperlukan untuk menutup sepenuhnya jurang defisit perdagangan antara AS dan Malaysia.

Trump turut menegaskan bahawa tiada sebarang tarif akan dikenakan sekiranya syarikat dari Malaysia memilih untuk membina atau mengilang produk di dalam Amerika Syarikat.

Katanya, kerajaan AS bersedia memberikan kelulusan secara cepat, profesional dan rutin sekiranya pelaburan dibuat di negaranya.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan balas daripada Malaysia, termasuk menaikkan tarif ke atas produk AS, akan menyebabkan kadar 25 peratus yang ditetapkan itu ditambah lagi.

Dalam surat tersebut, Trump berkata, pihaknya telah menjalankan perbincangan selama bertahun-tahun dengan Malaysia berhubung isu perdagangan, namun mendapati dasar tarif dan bukan tarif yang diamalkan Malaysia telah menyebabkan ketidakseimbangan perdagangan yang serius.

Katanya, tarif yang dikenakan itu boleh disemak semula sama ada dinaikkan atau diturunkan bergantung kepada kesediaan Malaysia membuka pasaran dan menghapuskan halangan perdagangan terhadap AS.

Malaysia merupakan antara dua negara yang dikenakan peningkatan tarif dalam semakan baharu yang diumumkan oleh AS.

Selain Malaysia, Jepun turut mencatat kenaikan kadar daripada 24 peratus kepada 25 peratus.

Dalam masa sama, beberapa negara lain termasuk Vietnam, Kemboja, Bangladesh dan Bosnia and Herzegovina menikmati pengurangan kadar tarif, manakala Indonesia, Thailand, dan Afrika Selatan kekal pada kadar lama.

Setakat ini, kerajaan Malaysia belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung surat tersebut atau langkah balas terhadap keputusan terbaharu dari Washington itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button