Kritik hebat Yair Lapid terhadap rancangan bandar kemanusiaan di Gaza
TEL AVIV – Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid, menyelar cadangan kerajaan negara haram itu untuk membina sebuah ‘Bandar Kemanusiaan’ di selatan Gaza dan menyifatkannya sebagai satu idea yang tidak masuk akal dan melampaui kewarasan pentadbiran.
Dalam satu sidang media, Lapid membangkitkan pelbagai persoalan membabitkan aspek keselamatan, logistik dan kemanusiaan terhadap pelan berkenaan sambil mempertikaikan rasionaliti kerajaan dalam merangka cadangan tersebut.
“Adakah penduduk akan dibenarkan keluar dari bandar itu? Jika tidak, bagaimana mereka akan dihalang? Akan ada pagar? Pagar biasa atau elektrik? Berapa ramai askar yang perlu ditugaskan untuk kawal pagar tersebut? Dan apa akan berlaku jika kanak-kanak cuba keluar?,” soal beliau secara sinis.
Lapid turut mempersoalkan pihak yang akan bertanggungjawab membekalkan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik, selain membangkitkan kebimbangan terhadap penularan penyakit serta kos rawatan sekiranya wabak berlaku.
“Dan soalan paling penting buat rakyat Israel: Berapa kosnya kepada kita semua?,” katanya.
Menurut beliau, projek tersebut dijangka menelan belanja sekurang-kurangnya RM21.15 bilion (AS$4.5 bilion) manakala anggaran lain mencecah RM28.2 bilion (AS$6 bilion) atau lebih.
“Bandar itu tidak akan wujud, ia hanyalah satu fantasi yang membazirkan wang rakyat,” katanya lagi.
Sebelum ini, dalam temu bual bersama Radio Tentera Israel, Lapid turut menyifatkan cadangan tersebut sebagai satu idea yang lemah dari semua aspek termasuk keselamatan, politik, ekonomi dan logistik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








