JENAYAH & MAHKAMAH

Gencatan senjata di Gaza: YADIM sambut baik resolusi UNSC, berharap berkekalan hingga lepas Ramadan

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyambut baik dan menyokong penuh resolusi gencatan senjata yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin lalu.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pihaknya mengagumi dan menghargai keberanian serta komitmen terhadap nilai kemanusiaan yang ditunjukkan oleh 10 negara itu iaitu Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland.

“Resolusi tersebut menyeru kepada pelaksanaan gencatan senjata dengan segera sepanjang sisa dua minggu Ramadan dan menuntut pembebasan tebusan tanpa syarat, serta memastikan akses sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan dan perubatan yang
diperlukan.

“Walaubagaimanapun, perlu diperhatikan bahawa gencatan senjata ini hanya
berlaku semasa Ramadan, dan ini bermakna tiada jaminan bahawa Israel akan menghentikan serangan ke atas Gaza selepas tamatnya Ramadan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

“Sebagai badan dakwah yang berusia 50 tahun, YADIM sentiasa mengikuti
perkembangan semasa isu-isu yang berkaitan dengan rakyat Palestin dan percaya bahawa rakyat Malaysia juga prihatin dan sedar akan kekejaman yang dilakukan oleh rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Isnin lalu, UNSC telah sebulat suara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza, Palestin.

Sebanyak 14 negara telah menyokong resolusi yang dibentangkan oleh
10 ahli Majlis, manakala Amerika Syarikat (AS) mengambil pendirian untuk berkecuali daripada mengundi resolusi yang dibentangkan.

Dalam pada itu, menurut Hasanuddin, penerimaan resolusi itu merupakan
pencapaian yang besar dan telah dinanti-nantikan oleh masyarakat antarabangsa, memandangkan konflik di Gaza telah berlarutan sejak lima bulan yang lalu sehingga menyebabkan ia mengalami kemusnahan yang teruk.

Katanya, berdasarkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,
Israel telah melanggar segala peruntukan yang telah menyebabkan keadaan yang
mengerikan di Gaza, pertumpahan darah di Gaza telah berlarutan terlalu lama.

Oleh itu, katanya, resolusi gencatan senjata yang telah diluluskan oleh UNSC ini sewajarnya diraikan dengan penuh kesyukuran dan dihayati oleh umat Islam dan masyarakat global.

“YADIM berharap agar UNSC memastikan Israel untuk berhenti daripada aktiviti yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mematuhi sepenuhnya resolusi yang telah dipersetujui.

“Keutamaan kini adalah untuk menghentikan keganasan, membebaskan tebusan, menyediakan bantuan kemanusiaan tambahan kepada Gaza dengan segera, serta mencari penyelesaian yang berkekalan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button