Israel mahu tempatkan semua penduduk Gaza dalam ‘bandar kemanusiaan’
Dibina atas runtuhan bandar Rafah
TEL AVIV – Israel bercadang untuk membina sebuah “bandar kemanusiaan” di atas runtuhan bandar Rafah, yang akan menempatkan seluruh penduduk Genting Gaza.
Laporan portal Haaretz menyebut, perkara itu diumumkan Menteri Pertahanan, Israel Katz semalam yang turut memberitahu dia sudah mengarahklan pihak tentera bersedia dengan rancangan tersebut.
Menurut Katz, pelan tersebut melibatkan pemindahan 600,000 rakyat Palestin, terutamanya dari kawasan al-Muwasi, ke zon baharu itu selepas melalui saringan keselamatan.
Sebaik sahaja berada di dalam kawasan tersebut, penduduk tidak akan dibenarkan keluar.
Katz turut menyatakan bahawa jika keadaan mengizinkan, pembinaan bandar itu akan dimulakan semasa gencatan senjata 60 hari yang kini sedang dalam rundingan.
Tentera rejim zionis akan mengawal perimeter kawasan tersebut, namun tidak akan terlibat dalam pengurusan dalaman mahupun pengagihan bantuan kemanusiaan.
Katz berkata, Israel kini sedang mencari rakan antarabangsa untuk mengendalikan zon berkenaan.
Pelan itu sedang diselaraskan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan Israel merangkap bekas Timbalan Ketua Staf IDF, Amir Baram.
Bagaimanapun, cadangan itu dibidas beberapa pihak termasuk ilmuwan Israel sendiri.
Antaranya, sejarawan Holocaust dari Universiti Hebrew di Jerusalem, Prof. Amos Goldberg yang menyifatkan rancangan itu sebagai satu bentuk pembersihan etnik yang jelas terhadap Gaza.
Beliau berkata, kerajaan Israel merangka rancangan untuk mewujudkan “kem tahanan atau kem transit untuk rakyat Palestin sebelum mereka diusir.”
“Mereka menyebutnya sebagai ‘bandar kemanusiaan’, tetapi ia bukanlah bandar dan langsung tidak bersifat kemanusiaan.
“Sebuah bandar ialah tempat di mana terdapat peluang pekerjaan, punca pendapatan, hubungan sosial dan kebebasan bergerak. Ia mempunyai hospital, sekolah, universiti dan pejabat.
“Ini bukan apa yang mereka rancang. Tempat itu tidak akan dapat didiami — sama seperti kawasan ‘selamat’ yang pada hakikatnya tidak layak didiami sekarang,” jelas Goldberg.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








