BERITA SEMASA

Syed Saddiq kembali ke rumah Muhyiddin, bawa kad jemputan perkahwinan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini hadir sendiri menyerahkan kad jemputan perkahwinannya kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Syed Saddiq, kediaman Muhyiddin merupakan lokasi pertemuan pertamanya dengan bekas Perdana Menteri itu ketika beliau baru mula terlibat dalam dunia politik.

“Dulu di rumah inilah saya pertama kali bertemu Tan Sri. Saya bermula kecil. Sekadar menjadi MC di salah satu program Tan Sri.

“Saya tidak pernah terbayang bahawa daripada pertemuan itu, perjalanan hidup saya akan berubah begitu banyak,” katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.

Menurut beliau, Muhyiddin kemudiannya memberikan ruang dan kepercayaan besar kepadanya sehingga beliau diberi peluang bersama-sama mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika berusia 23 tahun.

Malah, pada usia 25 tahun, Syed Saddiq berkata, Muhyiddin turut mencalonkan namanya untuk menjadi seorang Menteri.

Syed Saddiq berkata, Muhyiddin juga pernah mengingatkannya mengenai satu keputusan yang mungkin mengubah keseluruhan perjalanan hidupnya ketika beliau menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.

“Ketika saya mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford, Tan Sri antara insan yang meyakinkan saya supaya tidak pergi dan terus berada di Malaysia untuk berjuang,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, satu perkara yang tidak akan berubah ialah Muhyiddin merupakan antara insan yang membuka pintu kepada perjalanan politiknya.

“Daripada seorang anak muda yang baru mahu belajar tentang dunia politik, banyak peluang, pengalaman dan pelajaran pertama saya bermula di bawah kepimpinan beliau.

“Perjalanan selepas itu tidak selalunya mudah. Ada persetujuan, ada perbezaan. Ada ketika kami berjalan bersama, dan ada ketika kami memilih jalan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan politik tidak seharusnya memadamkan sejarah mahupun rasa terima kasih terhadap insan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup seseorang.

“Bertemu semula secara peribadi hari ini membuatkan saya tersenyum dan terkenang kembali begitu banyak perkara. Masa berlalu, keadaan berubah, tetapi setiap insan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita tetap meninggalkan kesannya,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau akan memulakan lembaran baharu dalam hidup bersama Bella Astillah tidak lama lagi dan berbesar hati dapat hadir sendiri menjemput Muhyiddin dan Puan Sri untuk bersama-sama meraikan hari bahagia berkenaan.

“Berbeza politik tidak bermakna kita perlu melupakan budi, persahabatan dan sejarah yang pernah dibina bersama.

“Terima kasih, Tan Sri, atas peluang, kepercayaan dan segala pelajaran sepanjang perjalanan ini,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button