BERITA SEMASA

Syed Saddiq tunaikan janji, agih 1,000 bakul makanan, 51 iPad selepas tamat larian kesyukuran

MUAR – Selepas berjaya menamatkan cabaran Larian Kesyukuran sejauh 170 kilometer (km), Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus mengagihkan bantuan kepada penduduk di kawasan itu.

Menerusi kenyataan beliau, Syed Saddiq memaklumkan sebanyak 1,000 bakul makanan, 51 unit iPad serta RM61,400 bantuan biasiswa pendidikan akan diagihkan sebaik tiba di Muar tengah hari ini.

“Sampai sahaja di Muar, pukul 12 tengah hari akan agihkan 1,000 bakul makanan, 51 iPad dan RM61,400 biasiswa pendidikan,” katanya di Facebook.

Beliau turut memaklumkan pihaknya perlu membuat tempahan kali kedua pada Isnin ini susulan jumlah kutipan dana yang berjaya dikumpulkan jauh melepasi sasaran awal RM200,000.

“Hari Isnin kena buat tempahan kedua sebab dah jauh melangkaui sasaran RM200,000,” katanya.

Syed Saddiq berkata, jumlah keseluruhan kutipan dana termasuk perincian penggunaan wang serta perancangan seterusnya akan dikongsikan kemudian bersama bukti resit berkaitan.

“Saya akan kemas kini malam ini jumlah keseluruhan, termasuk bukti resit dan perancangan masa depan.

“Maaf tidak cukup tangan sebab satu pasukan sedang sibuk menguruskan hal bantuan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Larian Kesyukuran berkenaan bermula pada 16 Julai lalu dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya sebelum merentasi Negeri Sembilan dan Melaka, seterusnya berakhir di Laman Maharani, Muar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button