SUKAN

Powerman Malaysia tarik penyertaan tertinggi

PUTRAJAYA – Penganjuran POWERMAN Malaysia Duathlon 2024 sekali lagi menyaksikan penyertaan tertinggi bagi kategori atlet elit, amatur dan junior, sekali gus mengekalkan status sebagai acara duathlon terbesar dunia.

Acara tersebut juga disertai kira-kira 20 kanak-kanak kurang upaya (OKU) fizikal dan keperluan khas, yang mendapat sokongan padu dan sorakan gemuruh daripada semua penonton dan peserta.

Sekali lagi Duatlon terbesar dunia menyaksikan peserta berentap dalam disiplin larian dan berbasikal untuk merebut gelaran POWERMAN Malaysia.

Tempat pertama bagi kategori lelaki Elit dengan masa 02:41:48 ialah John Leerams Chicano dari Filipina. Dalam kategori wanita Elit, Rendy Williams dari Amerika Syarikat mendapat tempat pertama dengan catatan masa 03:09:34.

Trio Malaysia, Esther Joy Hong Li Chen (03:13:35), Muhammad Rabani Bin Hashim (02:58:41) dan Nazri Muhamad (02:59:24) menamatkan perlumbaan di tempat ke-2, ke-5 dan ke-6 dalam kategori Elit masing-masing.

POWERMAN Malaysia 2024 yang ditaja JAECOO, menarik bilangan peserta antarabangsa yang tertinggi, dan menyaksikan lebih daripada 4,000 peserta tegar duatlon dan atlet elit bersaing sekitar Putrajaya dalam format berlari-berbasikal-berlari meliputi pelbagai kategori.

Antaranya termasuk jarak Klasik (berlari 10km, berbasikal 60km dan berlari 10km) dan kategori jarak dekat (berlari 5km, berbasikal 30km dan berlari 5km), di samping 3 kategori POWERKIDS bagi peserta muda (umur 6 hingga 15 tahun).

Pengurus Besar dan Pengarah Perlumbaan POWERMAN Malaysia, Jeffrey Ross berkata , acara tahun ini mencapai tanda aras baharu dengan penyertaan JAECOO sebagai rakan penganjuran bersama.

“POWERMAN Malaysia terkenal sebagai salah satu acara yang paling popular dan berjaya di negara ini, dan kami berbangga untuk berkongsi pentas ini dengan JAECOO pada tahun ini.

“Peserta daripada 30 negara telah mengambil bahagian dalam edisi ke-19 ini, dalam perlumbaan yang sengit untuk merebut gelaran Duatlon Terbesar Dunia, dan kami sangat teruja untuk mempamerkan keindahan Putrajaya dan kawasan sekitar kepada semua peserta kami,” katanya di sini hari ini.

Hadir untuk majlis perlepasan bagi kategori Elit, Klasik dan Pendek POWERMAN ialah Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj),Datuk Fadlun Mak Ujud, Naib Presiden JAECOO Malaysia, Emily Lek dan Pengarah Mesyuarat dan Insentif Sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), En. Mohammad Isa Abdul Halim.

POWERMAN Malaysia diuruskan oleh Fresh Events Asia Sdn Bhd. Berpangkalan di Kuala Lumpur, Fresh Events mendahului dalam menyampaikan pengalaman acara penyertaan besar-besaran yang berkualiti kepada penonton di Asia Tenggara sejak 2013.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button