Bekas mufti Pulau Pinang dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan
PUTRAJAYA – Bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M.
Pengumuman itu dibuat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Profesor Dr. Ali Muhyiddin Ali-Qaradaghi diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
Dalam majlis yang sama, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah, termasuk wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada kedua-dua tokoh tersebut.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Hassan, 82, yang juga anak kelahiran Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang Fakulti Syariah dan Undang-Undang Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri, Kelantan.
Hassan berkelulusan Ijazah Sarjana Usul Al-Fiqh Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir dan kini berkhidmat sebagai Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Darul Hadis, Pulau Pinang sejak tahun 2015.
Hassan juga turut menerbitkan beberapa buku termasuk Bai’al-Murabahah (Produk Kewangan Islam), Kepentingan Mencari Kekayaan Dalam Islam, Ruang Lingkup Ijtihad, Ijtihad dan Kesesuaian Islam Untuk Semua Keadaan.
Untuk rekod, beliau juga pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1433H/2012M dan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1436H/2014M.
Sementara itu, Profesor Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi, 75, yang berasal dari Qaradagh, Daerah Sulaymaniyah, Wilayah Kurdistan, Iraq terbabit selama 40 tahun dalam menasihati sistem perbankan syariah dan ekonomi Islam di Malaysia.
Dr. Ali Muhyiddin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Kolej Al-Imam Al-A’zam di Baghdad pada tahun 1975 selain memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang perundangan perbandingan dari Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Al-Azhar pada tahun 1980
Beliau juga pemegang ijazah kedoktoran dalam Syariah dan Undang-undang di Universiti Al-Azhar dalam bidang kontrak dan transaksi kewangan, pada tahun 1985.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








