BERITA SEMASA

Putrajaya catat penurunan 36.2 peratus kes denggi, teknologi Wolbachia terbukti berkesan

PUTRAJAYA – Putrajaya merekodkan penurunan kes demam denggi sebanyak 36.2 peratus bagi tempoh Januari hingga April 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan berasaskan teknologi dan data dalam menangani wabak bandar.

hannah yeoh
Foto Ihsan PPJ

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, dapatan itu menunjukkan pendekatan konvensional semata-mata tidak lagi mencukupi, khususnya di kawasan bandar yang padat penduduk.

“Pendekatan lama sahaja tidak lagi mencukupi. Data di Putrajaya membuktikan inovasi seperti teknologi Wolbachia mampu mempercepatkan pengawalan denggi dan melindungi komuniti dengan lebih berkesan.

“Pada masa sama, usaha ini adalah sebahagian komitmen berterusan untuk menjadikan Putrajaya bandar lebih selamat dan kondusif, khususnya bagi memastikan kanak-kanak dapat bermain tanpa bimbang risiko kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan teknologi Wolbachia di Putrajaya dilaksanakan secara berperingkat di lokaliti berisiko tinggi.

Di Presint 14, sebanyak 588,800 nyamuk dewasa telah dilepaskan sejak 2020 dan kini berada dalam fasa penyelenggaraan termasuk suntikan tambahan (booster).

Sementara itu, di Presint 18, sebanyak 554,400 nyamuk dewasa telah dilepaskan sejak Oktober 2025 dengan kawasan tersebut kini berada dalam fasa ‘sustain’, menandakan proses penstabilan populasi Wolbachia sedang berlangsung.

Tambah beliau, Jabatan Wilayah Persekutuan kini meneliti keberkesanan penggunaan bajet sedia ada termasuk program gotong-royong serta mengkaji potensi memperluaskan teknologi Wolbachia ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang mencatatkan kadar kes denggi tinggi.

Sebelum itu, Hannah turut mengadakan lawatan rasmi ke Insektarium Wolbachia di Presint 20 bagi meninjau pelaksanaan teknologi berkenaan serta memperkukuh kerjasama antara agensi dalam usaha meningkatkan kawalan denggi di Wilayah Persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button