PM lulus RM1 juta baik pulih masjid, surau kem tentera di Melaka
MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja membaik pulih masjid dan surau di beberapa kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Melaka.
Beliau berkata, peruntukan itu akan disalurkan bagi menaik taraf kemudahan ibadah di Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang sementara menunggu pembentangan Belanjawan 2027.
“Saya luluskan RM1 juta untuk membaik pulih dan keperluan masjid serta surau di Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang.
“Bersembahyanglah dengan baik dan lebih khusyuk,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Terendak, di sini hari ini.
Menurut Anwar, keputusan meluluskan peruntukan itu dibuat selepas melihat sendiri keperluan di kem-kem berkenaan walaupun pihak pengurusan tidak mengemukakan permohonan secara rasmi.
“Saya tengok, mereka tidak minta pun. Tetapi apabila saya melihat keadaannya, saya tahu ada keperluan. Tidak perlu disebut, saya terus luluskan peruntukan itu,” katanya.
Dalam majlis sama, Anwar turut meluluskan peruntukan sebanyak RM147,000 bagi pelaksanaan Program BAKAT.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap aspek kebajikan anggota ATM, termasuk penyediaan kemudahan yang lebih baik bagi memastikan kesejahteraan warga pertahanan dan keluarga mereka terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








