
Sambutan penuh bersejarah, ratusan ribu banjiri Putrajaya
PUTRAJAYA – Selepas penganjuran kali terakhir kira-kira empat tahun lalu, Dataran Putrajaya di sini sekali lagi dipilih menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan.
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang dihadiri ratusan ribu pengunjung hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi sambutan sulung di bawah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, sambutan kali ini dibahagikan kepada 10 komponen iaitu Kenegaraan, Perpaduan Malaysia MADANI, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif, Komuniti, Sukan Negara, Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.
Berbeza dengan tahun-tahun terdahulu, keterujaan rakyat Malaysia untuk menyambut hari kemerdekaan kali ini cukup luar biasa apabila ramai yang sudah memenuhi dataran sejak pukul 12 tengah malam tadi.
Sebahagian daripada mereka sanggup bersekang mata dari tengah malam sehingga acara bermula, malah ada yang terpaksa melelapkan mata di kaki lima untuk mengelak kesesakan pada pagi hari acara.


Tinjauan Malaysia Tribune pada pukul 6.30 pagi tadi mendapati laluan masuk ke tapak acara sesak dengan orang ramai yang berjalan kaki kerana ruang tempat letak kenderaan penuh lebih awal daripada sepatutnya. Bahkan ada yang terpaksa berjalan sejauh lebih tiga kilometer.
Tinjauan pengangkutan awam juga mendapati keadaan di Putrajaya Sentral sesak dengan orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan bas perantara.
Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Pentas persembahan bermula dengan nyanyian lagu Negaraku diiringi tembakan meriam.
Antara yang mencuri tumpuan ramai adalah persembahan akrobatik motosikal oleh pasukan Tentera Darat Malaysia iaitu Army Red Warrior, pertunjukan payung terjun oleh pasukan Komando VAT 69 PDRM.
Pasukan ATM merupakan kontinjen terbesar termasuk pasukan 10 Briged Para, pasukan simpanan ATM dan pasukan Malbatt.
Selain mengetengahkan pelbagai aset ketenteraan di darat, aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut mengegarkan ruang udara Putrajaya antaranya jet pejuang Sukhoi, F/A-18D Hornet dan BAE Hawk, pesawat pengangkut A400M, dan C130 Hercules.


| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








