BERITA SEMASA

NVIDIA, YTL bakal bangunkan pusat data AI dengan pelaburan RM20 bilion

PUTRAJAYA – Syarikat teknologi multinasional dan perintis dalam teknologi pengkomputeran dipercepatkan, NVIDIA akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL dalam membina pusat data kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pusat AI itu akan dibangunkan dengan pelaburan berjumlah RM20 bilion.

 

“NVIDIA melihat Malaysia mempunyai sumber dan kemampuan dalam menyediakan keperluan dan syarat sebagai sebuah hub AI.

“YTL telah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpangkalan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Anwar mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.

Dalam pada itu Anwar berkata, keputusan NVIDIA untuk melabur di Malaysia adalah satu isyarat yang jelas bahawa pelabur asing, terutamanya syarikat gergasi teknologi dunia terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.

“Dalam pertemuan tadi, perbincangan kami menyinggung potensi Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI.

“Saya tekankan bahawa Malaysia memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi yang diterajui AI.

“Jensen menyatakan kesediaan menyokong hasrat ini dan memaklumkan NVIDIA bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain pewujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button