PM arah DBKL batal lesen perniagaan bazar Ramadan jika serah kepada pihak lain
PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan untuk membatalkan lesen bazar Ramadan yang dikeluarkan sekiranya terdapat peniaga yang memindahkan lesen mereka kepada pihak lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu ‘memindahkan’ lesen itu antara aspek pengurusan yang perlu diberi perhatian dan memerlukan penguatkuasaan yang lebih efektif.
“Bayangkan orang nak berniaga bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi, untuk persiapan keluarga, itu masih ada (isu pengurusan lesen yang berlaku).
“Saya ucapkan terima kasih kepada DBKL kerana kadar (bayaran lesen) itu dikurangkan, tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen… dia kerja, kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, langkah penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu diambil memandangkan saban tahun ada agen yang mendapat komisen yang besar hasil daripada pemberian lesen perniagaan tersebut.
“Bazar Ramadan yang saban tahun kita tahu ada agen dan komisen besarnya jadi apa masalahnya untuk beri lesen perniagaan kepada orang yang berniaga tidak melalui wakil-wakil.
“Kalau ada persatuan yang ambil umpamanya (upah) untuk kebersihan dan pengawasan itu saya faham tetapi dijual semula maknanya penjawat awam terlibat itu tahu benar dan bersekongkol (dalam isu lesen perniagaan).
“Saudara harus faham perkara ini berlaku selama bertahun-tahun jadi saya harap dengan pelaksanaan di bandar KL ia menjadi contoh kepada bandar-bandar yang lain di negara ini,” katanya lagi.
@malaysiatribune Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan untuk membatalkan lesen bazar Ramadan yang dikeluarkan sekiranya terdapat peniaga yang memindahkan lesen mereka kepada pihak lain. #malaysiatribune
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa agar DBKL menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara.
“Kita lihat umpama apa yang dilakukan oleh Zaliha dalam penguatkuasaan undang-undang kedai haram kehadiran pendatang asing yang telah menggugat kawasan-kawasan perniagaan dan keadaan ini telah terbiar sekian lama.
“Tugas kita untuk sokong langkah yang diambil supaya tegas bukan bertindak ganas dan zalim,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Awal tahun ini, Dr. Zaliha mengumumkan DBKL akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak yang berpatutan selain pengurusan yang lebih baik.
Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani rungutan mengenai harga yang dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








