BERITA SEMASADALAM NEGERI

Orang ramai dijemput meriahkan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 di Titiwangsa

KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput memeriahkan Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada Ahad ini di Pentas 2 (Gate 22), Taman Tasik Titiwangsa bermula dari 7.30 pagi hingga 2.00 petang.

Acara anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kali ini membawa tema ‘Bandar untuk Semua: Kuala Lumpur Inklusif, Sejahtera dan Disayangi’, selaras dengan aspirasi menjadikan ibu negara sebagai bandar yang mampan dan mesra komuniti.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang hari bagi menarik penyertaan masyarakat pelbagai lapisan, antaranya ExploRun sekitar Taman Tasik Titiwangsa, senam aerobik bersama HMYi Azam, serta cabaran interaktif seperti Lego City Challenge dan Puzzle Challenge,” kata DBKL dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi golongan muda, turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, Urban Planning Trivia serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.

Maimunah Mohd Sharif yang dijadualkan hadir pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 pada Ahad ini.

Sesi Planning TED Talk pula bakal menampilkan tokoh-tokoh ternama dalam bidang perancangan bandar, landskap dan warisan termasuk Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), TPr Mazrina Datuk Abdul Khalid, serta Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Prof. Madya LAr. Dr. Nor Atiah Ismail.

Majlis akan diserikan dengan Ucapan Perasmian oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dan pelancaran buku baharu bertajuk ‘KL Dulu’, diikuti sesi santai ‘Luncheon @ Park’ untuk para pengunjung.

Menurut kenyataan penganjur, sambutan kali ini bertujuan memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan perancangan bandar yang inklusif dan lestari, selaras dengan aspirasi Kuala Lumpur sebagai bandar untuk semua.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar penyertaan melalui pautan: https://forms.gle/2PGY3puMyWHodt6B6

Majlis ini terbuka kepada semua dan pengunjung digalakkan hadir bersama keluarga untuk menikmati pelbagai aktiviti komuniti dalam suasana taman yang harmoni.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button