BERITA SEMASADALAM NEGERI

DBKL keluar 11 kompaun terhadap enam kontraktor langgar SOP

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 11 notis kompaun terhadap enam kontraktor pembinaan dalam Operasi Korekan Jalan Awam Siri 4/2026 yang dijalankan sekitar ibu negara, lewat malam Jumaat hingga awal pagi Sabtu lalu.

Menurut DBKL, pemantauan dan pemeriksaan dilaksanakan bagi menilai tahap pematuhan kontraktor terhadap syarat serta kelulusan kerja ketika menjalankan aktiviti pembaikan atau penyelenggaraan melibatkan pemasangan paip, penurapan jalan, pembaikan longkang dan kerja utiliti seperti bekalan air, elektrik serta telekomunikasi.

“Operasi bermula pukul 10.30 malam pada 27 Februari dan berakhir pukul 3.30 pagi, 28 Februari itu melibatkan beberapa lokasi tumpuan iaitu Jalan Kerinchi, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah dan Jalan Raja Muda,” katanya.

Hasil pemeriksaan di lapan lokasi mendapati beberapa kontraktor gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), antaranya tidak memasang lampu amaran (blinker), menyebabkan kerosakan siar kaki, menutup laluan tanpa kebenaran, menggunakan lori tanpa permit mengangkut bahan binaan serta mengotorkan laluan awam.

Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 membabitkan dua notis kompaun serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 melibatkan sembilan notis kompaun.

DBKL memaklumkan operasi dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan mengikut peraturan demi keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.

Orang awam yang mempunyai aduan atau maklum balas boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi yang disediakan pihak berkuasa tempatan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button