BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

DBKL lancar kempen kibar Jalur Gemilang 2025, semarak semangat patriotik Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus menyemarakkan semangat cintakan tanah air dengan menganjurkan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025, semalam.

Majlis yang berlangsung di Lobi Menara DBKL 1 itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Kempen tahun ini membawa tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ selari dengan hasrat menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan warga kota serta menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang terkesan dengan kos sara hidup.

Dr Maimunah berucap ketika merasmikan majlis yang berlangsung di Lobi Menara DBKL 1.

Sebagai simbol solidariti, DBKL turut menyampaikan sumbangan dan bakul makanan kepada 30 pemandu teksi, grab dan penyedia e-hailing yang terpilih.

Menurut kenyataan DBKL, sebanyak 27,500 helai Jalur Gemilang telah diedarkan ke seluruh komuniti dan agensi sekitar ibu kota, manakala 2,000 bendera dipasang di jalan-jalan utama Kuala Lumpur bagi menyemarakkan suasana bulan kemerdekaan.

Premis DBKL termasuk Menara DBKL turut dihiasi dengan pencahayaan khas bermula 15 Julai hingga 16 September 2025 selain paparan mesej patriotik melalui skrin LED dan papan tanda elektronik.

“DBKL menyeru semua warga kota dan pemilik premis bangunan supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kecintaan kepada negara.

“Kita ingin melihat Kuala Lumpur dibanjiri warna-warna patriotik sepanjang bulan kebangsaan ini, seiring dengan semangat Malaysia MADANI,” kata kenyataan tersebut.

Bagi memperkukuh semangat kemerdekaan, pelbagai program telah disusun sepanjang Ogos dan September.

Antaranya ialah KL Car Free Morning Edisi Merdeka (3 Ogos), Penyerahan Jalur Gemilang di Parlimen Bandar Tun Razak (9 Ogos), Kuala Lumpur River Trail Challenge (KLRTC) 2025 (11–13 Ogos), Dialog Bandar Raya di Parlimen Segambut (30 Ogos), Malam Ambang Merdeka di Dataran DBKL dan Program Jelajah Bermotosikal serta sambutan Hari Penguatkuasa ke-56 ke Johor Bahru pada September.

Orang ramai juga boleh mendapatkan Jalur Gemilang di Kaunter Jabatan Kewangan DBKL pada harga RM12 seunit.

Dengan pelbagai inisiatif yang inklusif dan meriah, DBKL berharap usaha itu dapat menanam rasa bangga dan cinta kepada tanah air dalam kalangan warga kota sekali gus memperkukuh identiti Malaysia sebagai negara yang bersatu padu dan berdaya tahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button