BERITA SEMASA

Peruntukan tambahan RM1 bilion majukan sempadan Sabah, Sarawak – PM

KUCHING – Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pelbagai projek pembangunan di kawasan sempadan di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri berkata, langkah itu penting supaya kawasan sempadan negara tidak ketinggalan selepas ibu negara Indonesia di Jakarta dipindahkan ke Kalimantan.

“Saya luluskan tambahan keseluruhan projek lebih RM1 bilion pembangunan di sempadan. Saya tugaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk segerakan dan tiada alasan untuk melengahkannya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar juga mengarahkan supaya Projek Lebuhraya Pan Borneo disiapkan lebih awal dari tarikh asal.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, projek bagi membaik pulih sekolah daif dapat diselesaikan sebelum bulan hadapan.

“Dalam Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), kemampanan dan memacu ekonomi itu penting tapi apa makna kepada rakyat biasa, miskin di kampung dan desa atau yang terbiar di pedalaman? Sebab itu rancangan kita menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara akan dibuat tahun ini juga.

“Maksudnya setiap keluarga dari Perlis higga di Sabah dan Sarawak yang ada saja keluarga miskin kita bantu. Jangan ada miskin tegar tahun ini. Untuk ini kita perlukan seluruh jentera kerajaan persekutuan negeri, jajahan dan daerah-daerah,” katanya.

Sementara itu, Anwar juga memberikan komitmen untuk menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anwar menegaskan MA63 bukan lagi untuk dirundingkan tetapi untuk dilaksanakan.

“Dengan kerjasama semua, hampir semua MA63 berjaya diselesaikan, ia bukan untuk dirunding untuk mentafsirkan tapi untuk melaksanakan.

“Saya tak mahu di Sabah dan Sarawak, menganggap orang di Semenanjung meminggirkan. Kami generasi baharu, apa yang dimeterai oleh bapa-bapa kita, tanggungjawab kita untuk laksanakan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button