BERITA SEMASAPMX

Kerajaan beri amaran kesan ekonomi jika konflik negara Teluk berlarutan

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan masih mampu mengawal harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter buat masa ini walaupun konflik di negara Teluk menimbulkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang kepada ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun perkembangan semasa terutama penutupan Selat Hormuz oleh Iran baru-baru ini sedang dipantau rapi kerana ia boleh memberi implikasi kepada perdagangan global serta kos pengangkutan.

Menurut beliau, tindakan tersebut menyebabkan lebih 200 kapal minyak dan gas serta peralatan berkaitan terkandas di perairan berkenaan.

Katanya, keadaan itu tentunya menjejaskan perniagaan dan perdagangan selain meningkatkan kos pengangkutan kerana kapal dagang terpaksa melalui laluan yang lebih jauh.

“Setakat ini sepertimana saya umumkan kita akan cuba kawal termasuk RON95 pada kadar RM1.99.

“Keadaan ini kita pantau kerana setakat ini kita masih boleh bertahan dalam satu dua bulan, tetapi petanda-petanda awal tidak begitu baik dan menyenangkan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Musalla Solat Jumaat di pusat beli-belah IOI City Mall, di sini, hari ini.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI turut mengikuti rapat perkembangan di negara Teluk itu yang disifatkan menggusarkan apabila Amerika Syarikat serta Israel masih terus menyerang Iran ketika ini.

Menurut beliau, tumpuan kerajaan ketika ini adalah terhadap kesan konflik berkenaan kepada ekonomi dan geopolitik serantau.

“Kerajaan akan ambil langkah-langkah pasti segera kerana kesan ekonomi kalau keadaan ini berlanjutan tidak dapat dielakkan.

“Kos barangan, kos import bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SMEs) dan juga import umumnya barang makanan akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar mengesyorkan semua lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, pekerja dan peniaga supaya berwaspada serta tidak memandang ringan kesan konflik berkenaan.

Beliau berkata, jika konflik tersebut berterusan, ia berpotensi menjadi krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka.

“Saya lihat sekarang ini dalam media nampak tumpuan ini kurang ketimbang apa yang dilaporkan atau diliputi oleh negara-negara jiran dan negara-negara lain.

“Jadi saya tidak mahu pandangan yang selesa, perbelanjaan tidak kawal, tidak terkawal, amalan boros dan membazir minta tolong jaga daripada sekarang.

“Janganlah kita bila dah terhentuk, baru kita cari bantal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button