Anwar ke Korea Selatan hadiri Mesyuarat APEC
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Korea Selatan, Khamis ini bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Mesyuarat yang dijadualkan bermula Jumaat akan diadakan di bandar pantai tenggara Gyeongju.
Ini merupakan kali kedua Korea Selatan menjadi tuan rumah mesyuarat APEC selepas kali pertama pada tahun 2005, lapor BERNAMA.
“Saya akan berlepas pada Khamis selepas sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen,” katanya selepas sidang media majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka berlepas ke Korea Selatan hari ini sejurus selesai mesyuarat dua hala antara ASEAN dan Australia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Anwar, yang menjadi tuan rumah kepada pemimpin ASEAN serta enam lagi pemimpin negara rakan dialog termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijangka bertemu semula di Korea Selatan memandangkan negara mereka juga merupakan anggota APEC.
Menurut laporan agensi berita, beberapa pemimpin APEC telah mula tiba di Korea Selatan.
Tema APEC 2025 ialah “Membina Esok yang Mampan” dengan Korea Selatan memberi tumpuan kepada kemajuan perdagangan serantau, kecerdasan buatan (AI) dan kemampanan, termasuk mesyuarat peringkat menteri yang akan membincangkan topik seperti kesihatan, ekonomi digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah APEC pada 2020 dalam format maya pertama susulan penularan pandemik Covid-19.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








