AKM anjur pertandingan video kreatif sempena sambutan Merdeka 2025
PUTRAJAYA – Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) di bawah Pejabat Perdana Menteri menganjurkan Program Ekspresi Merdeka menerusi pertandingan video kreatif bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2025.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Strategik AKM, pertandingan peringkat negeri yang bermula pada 5 Jun diteruskan sehingga 8 Ogos 2025.
“Video terpilih sebagai pemenang peringkat negeri akan layak bertanding di peringkat kebangsaan yang dijadualkan berakhir pada 13 September 2025.
“Pertandingan ini menjadi wadah bagi rakyat Malaysia menzahirkan semangat patriotik melalui pendekatan yang lebih kreatif, segar dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Program tersebut melibatkan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak termasuk Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA); Pasaraya AEON; Pasaraya MYDIN; Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS); Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN); Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Majlis penyampaian hadiah peringkat negeri dijangka berlangsung pada 23 dan 24 Ogos, manakala peringkat kebangsaan pada 13 September.
Pelbagai pengisian turut dirancang sempena program itu termasuk sesi interaktif kenegaraan, pertandingan mewarna, persembahan rakyat, pertandingan pakaian beragam, cabutan bertuah, reruai pameran agensi kerajaan dan swasta serta jualan rahmah.
AKM menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta dalam pertandingan ini sebagai manifestasi semangat cintakan tanah air menjelang ulang tahun kemerdekaan negara.
Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman sesawang dan media sosial rasmi AKM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








