BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

Logo rasmi Hari Kebangsaan dikekalkan hingga 2027, tema 2025 fokus kepada rakyat

KUALA LUMPUR – Logo rasmi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu akan terus digunakan sehingga tahun 2027.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media mingguan kementerian di Angkasapuri, kelmarin.

Fahmi dan barisan menteri menunjukkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Angkasapuri kelmarin.

Pada majlis itu turut diperkenalkan tema rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025) iaitu ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’.

Keputusan itu menandakan kesinambungan identiti visual kebangsaan yang mencerminkan kestabilan dan kesatuan di bawah gagasan Malaysia MADANI di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM2025, menggambarkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan rakyat terus menjadi keutamaan utama negara.

“Tema ‘Rakyat Disantuni’ melambangkan iltizam kerajaan untuk mendahulukan kebajikan rakyat dalam setiap dasar dan pembangunan negara,” ujarnya.

Wajah anak-anak generasi hari ini bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

Bulan Kebangsaan 2025 akan bermula dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 27 Julai 2025 di Johor.

Ia diikuti acara kemuncak Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 September.

Sepanjang sambutan HKHM 2025, pelbagai program bertemakan cintakan negara akan dilaksanakan.

Antaranya ialah Quran Hour, Kira Detik Merdeka, 1Rumah 1Jalur Gemilang, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku, PENTARAMA Merdeka@HOHO, Wayang Pacak Merdeka dan RIUH Merdeka.

Contoh logo yang dibenarkan mengikut kesesuaian.

Sementara itu, dalam usaha memperkukuh promosi sambutan, portal rasmi Merdeka360 juga diperbaharui dengan penambahan menu ‘Kalendar Acara’ yang menyenaraikan program HKHM2025 dari peringkat nasional hingga ke daerah.

Maklumat lengkap termasuk garis panduan penggunaan logo rasmi turut disediakan di portal tersebut.

Hadir sama dalam sidang media semalam ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, Julina Johan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button