60 rider semarak Hari Malaysia, terima perlindungan insurans
TANJONG KARANG – Seramai 60 penunggang motosikal menyemarakkan sambutan Hari Malaysia menerusi program Ride Santai Kampung Hujung Permatang ke Sungkai, yang turut membawa mesej penting mengenai keselamatan dan perlindungan diri.
Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh itu bukan sahaja menjadi platform mengeratkan ukhuwah dalam kalangan komuniti penunggang motosikal, malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan ketika berada di jalan raya.
Menariknya, semua peserta turut menerima Kad Insurans Kemalangan yang disampaikan Nurul Syazwani sebagai simbolik kepada usaha memastikan aspek keselamatan dan perlindungan diri tidak dipandang ringan.
Menurut Nurul Syazwani, sambutan Hari Malaysia membawa makna kebersamaan dan semangat kekitaan tanpa mengira latar belakang.
“Hari Malaysia membawa makna kebersamaan. Kita mungkin datang daripada pelbagai latar belakang, tetapi apabila berada dalam satu komuniti, kita belajar untuk saling mengenali, menjaga dan mengambil berat antara satu sama lain.
“Kita mahu rider bukan sahaja seronok menunggang bersama, tetapi pulang dengan kesedaran bahawa keselamatan diri dan perlindungan juga sangat penting. Keluarga menunggu kita di rumah, jadi keselamatan jangan sesekali dipandang ringan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau berkata, aktiviti santai di peringkat kampung seperti itu mampu menjadi medium berkesan untuk mendekatkan masyarakat selain menghidupkan semangat kekitaan dalam komuniti.
Katanya, semangat Hari Malaysia tidak semestinya diterjemahkan menerusi program berskala besar, sebaliknya boleh dizahirkan melalui aktiviti kemasyarakatan yang membina persaudaraan, keprihatinan dan rasa tanggungjawab bersama.
Dalam pada itu katanya, program berkenaan turut membawa mesej supaya komuniti rider sentiasa mengamalkan tunggangan berhemah, mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
“Kita ride bersama, kita jaga satu sama lain. Itulah semangat komuniti dan semangat Malaysia yang mahu kita suburkan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








