BERITA SEMASA

Kesalahan memandu mabuk sebabkan kematian bukan cuai, perlu didakwa bunuh tanpa niat

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mengklasifikasikan semula kesalahan memandu mabuk yang menyebabkan kematian sebagai satu bentuk kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata,
langkah itu adalah selaras dengan prinsip undang-undang jenayah yang mengiktiraf perbuatan berbahaya yang dilakukan dengan pengetahuan risiko sebagai satu kesalahan serius terhadap nyawa manusia.

Beliau berkata, ini kerana sehingga hari ini, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kematian masih didakwa di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan.

“Walaupun hukuman telah diperketatkan, realitinya kes-kes seumpama ini masih berulang. Ini menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada belum cukup memberi kesan pencegahan yang efektif.

“Dalam konteks ini, seseorang yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk tidak boleh lagi dilihat sekadar cuai.

“Tindakan tersebut adalah satu keputusan sedar yang diketahui berpotensi tinggi menyebabkan kematian. Elemen “knowledge” atau kesedaran terhadap risiko inilah yang menjadi asas kepada konsep culpable homicide,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

nurul noh omar
ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh

Beliau berkata, berdasarkan beberapa keputusan mahkamah dalam kes
terdahulu telah menegaskan bahawa kecuaian melampau yang menunjukkan sikap tidak mengendahkan keselamatan orang lain boleh mencapai tahap liabiliti jenayah yang lebih serius.

“Dalam kes pendakwa raya lawan Tan Chor Jin, mahkamah menekankan bahawa tindakan berbahaya yang dilakukan dengan kesedaran terhadap akibatnya boleh membawa kepada pertuduhan yang lebih berat daripada sekadar kecuaian biasa.

“Prinsip yang sama juga boleh dilihat dalam kes tempatan seperti pendakwa raya lawan Mohd Ridzwan Mohd Ali, di mana mahkamah menilai tahap kecuaian dan risiko yang diketahui oleh tertuduh,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, cadangan itu bukan bertujuan untuk menghukum secara melulu, tetapi untuk memperbetulkan kedudukan undang-undang agar selari dengan tahap keseriusan perbuatan tersebut.

Pada masa sama katanya, ia juga penting bagi memastikan mesej yang jelas dihantar kepada masyarakat bahawa memandu dalam keadaan mabuk bukan lagi satu kesalahan trafik semata-mata, tetapi satu perbuatan yang boleh meragut nyawa dan mesti dipertanggungjawabkan setimpal.

“Namun, saya juga menegaskan bahawa sebarang pindaan undang-undang perlu dirangka dengan teliti agar tidak membebankan pembuktian pihak pendakwaan secara tidak realistik.

“Oleh itu, pendekatan terbaik adalah dengan mewujudkan kategori khusus yang menggabungkan elemen memandu mabuk dan menyebabkan kematian, dengan ambang pembuktian yang jelas serta hukuman yang setimpal.

“Nyawa manusia tidak boleh dinilai dengan ringan. Undang-undang kita mesti berkembang seiring dengan arealiti dan memastikan keadilan kepada mangsa serta keluarga mereka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button