BERITA SEMASA

Kemalangan di hadapan SK Tualang Sekah bukan disebabkan pemandu mabuk – polis

KAMPAR – Pihak polis menafikan dakwaan kemalangan melibatkan enam kenderaan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang Sekah, Malim Nawar di sini, semalam yang menyebabkan lima mangsa termasuk dua kanak-kanak cedera berkait dengan pemandu mabuk.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan itu membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal, dengan maklumat awal yang diterima menyatakan sebuah kereta Proton Satria merempuh Perodua Viva dinaiki dua kanak-kanak itu.

Katanya, selain Perodua Viva berkenaan yang dipandu seorang wanita berumur 31 tahun, Proton Satria yang dipandu lelaki berumur 59 tahun turut merempuh sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang wanita berusia 19 tahun hingga mengakibatkan mangsa tercampak.

“Dalam kejadian sekitar 6.42 petang itu, dua beradik berusia lima dan tujuh tahun masing-masing mengalami kecederaan ringan di kepala manakala tiga lagi mangsa cedera berusia antara 19 hingga 59 tahun.

“Ketika kejadian, Perodua Viva dari bahu jalan hadapan SK Tualang Sekah ingin bergerak terus menghala pekan Malim Nawar namun tiba-tiba datang Proton Satria dari arah hadapan melanggar hadapan Perodua Viva itu hingga mengakibatkan Perodua Viva terbalik.

“Dalam waktu sama Proton Satria juga melanggar motosikal Yamaha Y15ZR. Sebuah Perodua Bezza yang datang dari arah Kuala Dipang membrek namun terlanggar penunggang motosikal yang tercampak.

“Akibat pelanggaran, Perodua Viva juga terlanggar hadapan sebuah kereta lain iaitu sebuah Proton Saga yang diparkir di bahu jalan hadapan SK Tualang Sekah.

“Pelanggaran Proton Saga itu pula menyebabkan ia bergerak ke belakang lalu terkena hadapan sebuah Perodua Axia yang diparkir di belakangnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Kata Nazri, pemandu Perodua Viva, Proton Satria, dan penunggang Yama Y15ZR masing-masing cedera namun pemandu Proton Saga, Perodua Bezza, dan Perodua Axia masing-masing tidak cedera.

Nazri berkata, pihaknya maklum mengenai dakwaan tular di media sosial berhubung kemalangan itu yang didakwa segelintir pihak berpunca daripada pemandu mabuk.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pemandu Proton Satria terbabit yang memasuki laluan bertentangan yang menjadi punca kemalangan itu tidak menunjukkan tanda-tanda mabuk termasuk berdasarkan perlakuan dan nafasnya yang tidak berbau alkohol.

“Bagaimanapun segala prosedur siasatan seperti ujian air kencing dan pemeriksaan kandungan alkohol dalam darah tetap dijalankan ke atas pemandu terbabit,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Terdahulu, tular di Facebook mendakwa kemalangan itu yang terjadi sewaktu ibu bapa sedang mengambil anak pulang dari sekolah sesi petang, berpunca daripada pemandu mabuk apabila terdapat tin arak di dalam Proton Satria.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button