Juruteknik didakwa bunuh, sebabkan kematian Amirul Hafiz
KLANG – Seorang juruteknik didakwa di Mahkamah Majistret Klang, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan yang tular, Ahad lalu.
Tertuduh, R Saktygaanapathy, 28, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian mangsa dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, memetik laporan Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh dan menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, di sini pada pukul 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
BACA JUGA:
Suspek pemandu mabuk nahas maut Klang hadir ke mahkamah dengan kawalan ketat
Saya nak nyawa dibalas nyawa – balu arwah Amirul
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Dalam pada itu, tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan memberikan dirinya dadah disyaki jenis benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini pada pukul 3.30 petang tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








