Thailand rampas 10 guni dadah, disyaki untuk pasaran Malaysia
SONGKHLA – Pihak berkuasa Thailand berjaya merampas 10 guni dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira 60 juta baht (RM7.38 juta) selepas mengejar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis trak pikap dalam satu operasi di wilayah selatan negara itu, dua hari lalu.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi pada 23 Jun apabila kenderaan berkenaan dikesan merempuh sekatan jalan raya sebelum melarikan diri sejauh kira-kira 150 kilometer dari Hat Yai menuju ke Phatthalung.
Operasi membabitkan Pegawai Pencegahan dan Penindasan Jenayah Balai Polis Hat Yai bersama Unit Anti-Narkotik itu turut diketuai Ketua Polis Hat Yai, Kolonel Polis Macha Kaewthong dan Leftenan Kolonel Polis Adinan Wongmadthong.
“Kesemua dadah ditemui selepas kenderaan itu hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik ketika cuba meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan menemui 10 guni mengandungi kira-kira dua juta pil methamphetamine, selain pelbagai barangan dipercayai digunakan sebagai azimat dan tangkal oleh suspek.
Dua individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan bagaimanapun berjaya melarikan diri dan kini sedang diburu pihak berkuasa.
Pihak polis turut mengenal pasti pemilik berdaftar kenderaan terbabit yang berasal dari Mukim Lan Khoi, daerah Pa Phayom, wilayah Phatthalung bagi membantu siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan ke lokasi penyerahan di sekitar Hat Yai, namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia turut disasarkan untuk diseludup ke Malaysia.
Pihak berkuasa Thailand kini giat menjejaki rangkaian sindiket dadah terbabit bagi memutuskan kegiatan pengedaran rentas sempadan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








