
Skater negara rayu tajaan ke kejohanan dunia di Jerman
KUALA LUMPUR – Pemain papan selaju bebas (freestyle skater) negara, Azzam Syafiq merayu bantuan penajaan dan sokongan orang ramai bagi merealisasikan impiannya mewakili Malaysia ke World Freestyle Skateboarding Championship 2026 di Kassel, Jerman pada Ogos depan.


Azzam berkata, kos tinggi untuk membawa nama negara ke pentas antarabangsa memaksanya mencari dana sendiri termasuk mendapatkan tajaan daripada syarikat atau individu.
“Insya-Allah pada bulan Ogos nanti saya akan mewakili Malaysia dalam pertandingan World Freestyle Skateboarding Championship 2026 di Kassel, Jerman.
“Rata-rata masyarakat tahu jika hendak mewakili Malaysia ke luar negara ini akan memerlukan perbelanjaan yang besar.
“Jadi sekarang saya mahu mencari dana. untuk mewakili negara” katanya dalam satu hantaran video di laman Instagram semalam.
Menurutnya, tahun lalu dia pernah menjadi perhatian ramai selepas video kutipan dana awam yang dimuat naik menjadi tular.
“Memang saya tak sangka video fundraiser tahun lepas boleh jadi sangat viral. Saya ingat kawan-kawan dan keluarga sahaja yang tengok.
“Tapi untuk tahun ini saya nak buat secara lebih profesional sedikit,” katanya lagi.
Tambah Azzam, dia kini terbuka kepada mana-mana pihak atau syarikat yang berminat untuk bekerjasama atau menjadi penaja rasmi sepanjang penyertaannya di kejohanan dunia itu.
“Kalau ada mana-mana pihak atau perniagaan yang sudi menaja saya boleh menghubungi saya. Saya juga terbuka untuk sebarang kolaborasi.
“Kalau nak beri sumbangan kecil pun saya sangat hargai. 10sen pun saya dah berterima kasih,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















