BERITA SEMASA

Malaysia utamakan rundingan, undang-undang dalam isu sempadan dengan Indonesia

JAKARTA – Malaysia tidak pernah mengambil sikap agresif sebaliknya mengutamakan pendekatan mengikut undang-undang dan rundingan dalam isu sempadan dengan Indonesia, termasuk di Laut Sulawesi.

Penegasan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) dan pemimpin redaksi (ketua-ketua pengarang) Indonesia, di sini hari ini.

“Ia mengikut undang-undang, kita tidak mengambil sikap agresif, jangan menceroboh kawasan masing-masing,” kata Perdana Menteri.

Anwar yang dalam lawatan kerja ke Indonesia berkata, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga turut bersamanya dalam delegasi lawatan berkenaan, bagi memudahkan proses rundingan berkenaan bersama Indonesia.

Isu Laut Sulawesi merupakan isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia yang terletak di antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah yang timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.

Ketegangan isu berkenaan berlaku pada 2005 sehingga ISWAMI ditubuhkan, yang dianggotai ketua-ketua pengarang media kedua-dua negara, bagi membentuk satu naratif perkongsian maklumat, dalam meredakan isu-isu semasa berkepentingan kedua-dua negara.

Kementerian Luar dalam jawapan bertulis di portal Parlimen pada 22 Julai lepas berkata Malaysia berpendirian bahawa Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi yang dituntut Indonesia, merupakan sebahagian daripada kawasan kedaulatan Malaysia.

Kementerian Luar memaklumkan pendirian itu berdasarkan undang-undang antarabangsa yang terhasil selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2002.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button