Perbahasan RCI Tabung Haji di Parlimen diharap tamatkan polemik berpanjangan – Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbahasan mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji di Parlimen hari ini diharap dapat memberi ruang kepada semua persoalan untuk diperjelaskan dan dirungkai secara menyeluruh.
Beliau berkata perbahasan yang berlangsung itu membuka ruang kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk mengemukakan persoalan serta mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkaitan institusi tersebut.
Katanya, perkembangan itu diharapkan dapat mengelakkan mana-mana pihak daripada terus melemparkan tuduhan keterlaluan atau membina persepsi tanpa bersandarkan kebenaran.
“Ruang telah dibuka untuk setiap persoalan diperbahaskan, diperjelaskan dan dirungkai dengan sebaik-baiknya oleh Ahli-Ahli Parlimen.
“Mudah-mudahan selepas ini, tiada lagi pihak yang memilih untuk melemparkan tuduhan keterlaluan atau membina persepsi tanpa bersandarkan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, apa juga teguran yang membina perlu disusuli dengan tindakan yang bertanggungjawab bagi memastikan Tabung Haji terus kukuh dan diyakini umat Islam.
Beliau turut berharap institusi berkenaan tidak lagi dibelenggu polemik yang berpanjangan sehingga menjejaskan keyakinan masyarakat.
“Apa jua teguran yang membina mesti disusuli dengan tindakan yang penuh bertanggungjawab, bagi memastikan institusi besar umat Islam ini terus kukuh, diyakini dan tidak lagi dibelenggu polemik yang berpanjangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak agar mengutamakan kebijaksanaan, hikmah dan keikhlasan dalam menilai serta membincangkan isu berkaitan Tabung Haji.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kita kebijaksanaan dalam menilai, hikmah dalam berbicara dan keikhlasan dalam mencari kebenaran demi kemaslahatan ummah dan kepentingan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








