BERITA SEMASA

Ucapan Noorazli sentuh sensitiviti agama, kertas siasatan dirujuk kepada AGC

KUALA LUMPUR – Polis selesai menjalankan siasatan berhubung ucapan perwakilan UMNO Selangor, Datuk Noorazli Said, pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang didakwa menyentuh sensitiviti agama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) esok untuk arahan dan nasihat lanjut.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, polis menerima 86 laporan berkaitan isu berkenaan, manakala percakapan 93 individu sudah dirakam.
“Individu yang dirakam percakapan terdiri daripada orang awam, pihak penganjur dan perwakilan UMNO termasuk suspek (Noorazli),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kumar berkata, Seksyen 298 Kanun Keseksaan membabitkan perbuatan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat dengan niat melukakan perasaan agama seseorang.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Kesalahan itu, jika disabitkan, boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan atau menyalahgunakan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat, di samping dapat memupuk budaya komunikasi yang matang serta saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara,” katanya.

Kontroversi tercetus susulan ucapan Noorazli pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang mengandungi kisah berbentuk jenaka membabitkan paderi dan biarawati ketika beliau mengulas mengenai kepentingan kebijaksanaan politik.

Noorazli sebelum ini menjelaskan kisah berkenaan digunakan sebagai analogi untuk mengambil pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.

Beliau turut menegaskan tidak berniat menghina atau memperlekeh mana-mana agama serta bersedia memohon maaf sekiranya penyampaiannya menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut Kristian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button