BERITA SEMASA

HASiL audit, siasat 408,726 kes, raih taksiran cukai tambahan RM7.7 bilion

CYBERJAYA – Sebanyak 408,726 kes diaudit dan disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sepanjang tahun ini dan berjaya menghasilkan taksiran cukai tambahan berjumlah kira-kira RM7.7 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan pematuhan undang-undang percukaian serta menjamin keadilan kepada pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka.

“HASiL sentiasa mengutamakan pematuhan secara sukarela. Namun, HASiL akan bertindak tegas tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap pihak yang sengaja mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab percukaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2026 di Menara HASiL, di sini hari ini.

Abu Tariq berkata, antara fokus tindakan pematuhan ialah golongan individu berpendapatan tinggi atau High-Net-Worth Individuals (HNWI), sektor rokok, minuman keras dan vape serta kegiatan perancangan cukai agresif.

Tindakan turut melibatkan aspek harga pindahan, penggunaan data e-Invois dan maklumat akaun pembayar cukai Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, langkah pengauditan dan penyiasatan itu penting bagi memastikan setiap pihak melaksanakan tanggungjawab percukaian masing-masing, sekali gus melindungi kepentingan pembayar cukai yang patuh.

Dalam pada itu, HASiL turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis data bagi memperkukuh pengesanan risiko ketidakpatuhan serta membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih bersasar.

Menerusi MyInvois Advanced Analytics Anomaly Detection Model, lebih 7,700 kes berpotensi mempunyai risiko percukaian dikenal pasti untuk tindakan audit dan siasatan.

Abu Tariq berkata, usaha memperkukuh pematuhan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan seiring dengan peningkatan kecekapan pentadbiran percukaian negara.

Langkah itu juga selaras dengan komitmen HASiL untuk memastikan sistem percukaian dilaksanakan secara cekap, adil dan telus demi melindungi kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button