POLITIK

CSA: Pemuda WAWASAN persoal pendirian ADUN BERSATU Pulau Pinang 

GEORGE TOWN – Pemuda WAWASAN Pulau Pinang mempersoalkan pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di negeri itu berhubung kemungkinan memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan negeri pimpinan DAP.

Penyelarasnya, Ahmad Zaki Zainul berkata, penjelasan perlu diberikan berikutan dakwaan mengenai hubungan mesra ADUN BERSATU dengan kerajaan negeri ketika ini.

Beliau berkata, persoalan itu timbul selepas Ahli Parlimen BERSATU menandatangani CSA dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Khamis lalu, manakala kerajaan PH Selangor dilaporkan sedang memuktamadkan rundingan perjanjian sama dengan ADUN BERSATU di negeri itu.

“Rakyat berhak tahu pendirian ADUN-ADUN BERSATU di Pulau Pinang mengenai CSA. Adakah mereka akan mengikut jejak langkah Presiden mereka?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Ahmad Zaki, persoalan mengenai kemungkinan rundingan antara BERSATU dengan DAP Pulau Pinang turut dibangkitkan susulan perbahasan Belanjawan Negeri 2027 oleh ADUN BERSATU di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam.

Related Articles

Beliau mendakwa, perbahasan wakil rakyat berkenaan dilihat tidak menunjukkan bantahan keras terhadap kerajaan negeri, khususnya dalam memperjuangkan keluhan rakyat.

“Tidak ada lagi bangkangan keras yang lebih membela rintihan rakyat seolah-olah ADUN-ADUN BERSATU ini sudah dijinakkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya.

Keadaan itu, katanya, menimbulkan persoalan sama ada terdapat rundingan yang sedang berlangsung antara kedua-dua pihak.

Ahmad Zaki berkata, mandat yang diberikan kepada ADUN BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu datang daripada pengundi yang mahukan perubahan dan menolak DAP di kawasan masing-masing.

“Sekiranya Bersatu Pulau Pinang menandatangani CSA dengan kerajaan DAP, ini adalah pengkhianatan mandat rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button