Pendidikan mesti sampai kepada semua anak Malaysia – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Pendidikan mesti sampai kepada setiap anak Malaysia tanpa mengira tempat mereka membesar, sama ada di tengah kota mahupun jauh di pedalaman.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, asal usul seorang anak tidak seharusnya menjadi penentu sejauh mana mereka mampu melangkah dalam kehidupan.
“Hari Malaysia tahun ini sangat istimewa untuk saya. Dalam perjalanan beberapa hari ini, saya dipertemukan semula dengan dua orang anak yang pernah saya temui jauh di rimba.
“Seorang sudah berada di Institut Pendidikan Guru (IPG), mempersiapkan diri untuk menjadi seorang guru dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling.
“Seorang lagi di Sekolah Menengah Sains (SMS) Gua Musang sebagai seorang pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang Insya-Allah, bakal mencipta pelbagai kejayaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Fadhlina, pertemuan semula dengan kedua-dua pelajar itu membuatkannya memikirkan dengan lebih mendalam mengenai makna Malaysia.

“Malaysia ini luas. Ada anak yang membesar di tengah kota. Ada yang membesar ditemani rimba dan sungai.
“Tetapi walau di mana pun mereka membesar, pendidikan mesti sampai kepada mereka,” katanya.
Fadhlina berkata, Malaysia bukan sekadar negara yang terbentuk daripada wilayah, kaum, budaya dan agama yang berbeza.
“Malaysia adalah tentang memastikan setiap anak, dari mana pun dia bermula, tahu bahawa ada masa depan untuknya dalam negara ini,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia perlu menjadi sebuah negara di mana asal seorang anak tidak menentukan sejauh mana dia boleh pergi.
“Terbanglah sejauh-jauhnya anak-anak. Malaysia ini milik kalian. Selamat Hari Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








