BERITA SEMASA

CSA bukan budaya politik baharu, PAS sendiri mulakan pada 2021 – Fahmi Fadzil

MELAKA – Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bukan budaya politik baharu kerana pendekatan itu pernah dilaksanakan ketika Pas berada dalam kerajaan pada 2021.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpandangan CSA tidak wajar dijadikan budaya politik baharu kerana didakwa mencabuli mandat pengundi dan menggalakkan salah guna kuasa.

“CSA yang pertama ditandatangani pada 2021 ketika beliau berada dalam Kabinet. Jadi, budaya ini berlaku bermula ketika beliau berada dalam Kabinet? Beliau yang memulakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Kempen Internet Selamat di Universiti Multimedia (MMU), di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, CSA bukan satu perkara yang melanggar undang-undang, sebaliknya bertujuan membina persefahaman bagi mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

Katanya, kestabilan itu penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan kepada keutamaan rakyat serta melaksanakan reformasi institusi.

“Kalau benda yang baik boleh dihasilkan, kenapa perlu dibantah?” katanya.

Beliau berkata, pihaknya terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu menandatangani perjanjian berkenaan dan tidak menghalang mereka daripada berbuat demikian.

“Sesiapa yang nak tandatangan, yang belum tandatangan boleh. Pintu untuk menandatangani CSA itu masih terbuka,” katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim menegaskan CSA tidak seharusnya dijadikan amalan politik baharu kerana disifatkan mencabuli mandat yang diberikan pengundi, selain mendakwa pendekatan bersyarat itu boleh menyemarakkan salah guna kuasa demi mendapatkan sokongan pembangkang.

Beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan secara adil kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti atau kedudukan mereka dalam Dewan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi turut mengulas mengenai pemilihan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, Adly Zahari mempunyai pengalaman luas selepas berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama dua penggal dan pernah memegang jawatan Ketua Menteri.

“Beliau seorang yang berpengalaman. Dah berkhidmat sebagai ADUN dua penggal dan pernah menjadi Ketua Menteri. Tak ada masalah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button