SG4 pegang lima prinsip sebagai teras – Takiyuddin
BANGI – Matlamat utama penubuhan Kerajaan Empat Negeri (SG4) adalah untuk memperkasa kerjasama negeri-negeri anggota ke arah pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kewangan yang kukuh, sosioekonomi yang mampan serta pembangunan lestari yang berimpak tinggi.
Menurut Setiausaha Eksekutif SG4, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bagi merealisasikan matlamat tersebut, SG4 yang dianggotai negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu berpegang kepada lima prinsip teras yang menjadi panduan dalam setiap program yang dijalankan.
Beliau berkata, prinsip pertama adalah mengamalkan intergriti yang tinggi dan kecekapan terbaik dalam pentadbiran sebagai asas kepada keyakinan rakyat dan pelabur untuk datang terlibat membangunkan negeri-negeri ini.
“Prinsip kedua, menggerakkan ekonomi yang adil dan saksama. Adil kepada semua rakyat, tanpa mengira bangsa dan berbentuk inklusif dan menjadi kunci kepada kestabilan dan kemakmuran jangka panjang,” katanya.
Bagi prinsip ketiga, beliau berkata, adalah mengadakan kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh nasional dan antarabangsa, termasuk kerajaan persekutuan dan pihak swasta, serta pelabur-pelabur daripada dalam dan luar negeri yang memastikan pembangunan yang menyeluruh dan berkesinambungan.
“Prinsip keempat, memartabatkan sistem perundangan syariah, memandangkan demografi negeri-negeri SG4 yang unik dengan ajaran Islam dan jati diri Melayu.
“Prinsip kelima, mengarusperdanakan Islam sebagai cara dan matlamat hidup yang sumut atau ‘universal’ sebagai neraca dan acuan utama dalam pembangunan negeri-negeri SG4 demi mencapai model negeri terbaik dan sentiasa dalam keampunan Allah SWT,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang Kemuncak Kesatuan Kerajaan Empat Negeri (SG4) di Hotel Tenera, di sini, hari ini.
Hadir sama, Panel Penasihat SG4, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, Takiyuddin memaklumkan bahawa SG4 diuruskan oleh satu entiti yang bernama ‘Majlis Menteri Besar SG4’ yang ketika ini dipengerusikan oleh Ahmad Samsuri, yang turut dianggotai oleh tiga lagi Menteri Besar dan seorang setiausaha eksekutif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








