JENAYAH & MAHKAMAH

Suami isteri maut MPV dihempap lori, dua anak cedera

BATU PAHAT – Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dan dihempap sebuah lori membawa muatan tar di Kampung Bukit Sri Wangi, Jalan Yong Peng, di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua anak mereka, masing-masing lelaki berusia lapan tahun dan perempuan berusia 11 tahun pula mengalami kecederaan ringan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Alif Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.24 tengah hari.

Menurutnya, sebuah jentera FRT bersama enam anggota digerakkan ke lokasi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Hino serta kereta Perodua Alza.

“Pemeriksaan mendapati pemandu lori berusia 30 tahun mengalami kecederaan, manakala pemandu Perodua Alza dan isterinya tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Pasukan operasi turut mendapati dua kanak-kanak berada di dalam kereta berkenaan, namun kedua-duanya hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Beliau berkata, anggota bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut, manakala mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button