BERITA SEMASA

54 PATI lolos tahanan ditahan, seorang lagi maut kemalangan

IPOH – Seorang lagi pendatang tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor dekat sini maut dalam kemalangan jalan raya di KM 332.5 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada 9.20 malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa maut selepas dilanggar pacuan empat roda ketika berjalan kaki di tepi lebuh raya berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, polis berjaya menahan tiga lagi daripada perusuh yang melarikan diri, menjadikan jumlah keseluruhan yang berjaya ditahan semula setakat pukul 8 pagi tadi berjumlah 54 orang.

“Semua tangkapan dan yang maut dalam kemalangan melibatkan pacuan empat roda itu adalah warga Rohingya.

“Kes ada disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil memberikan keterangan dengan menghubungi pengawai penyiasat P. Prathiparaj dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tapah di talian 014-6178095,” katanya.

Dalam kejadian pada 1 Februari lalu, seramai 131 PATI bertindak merempuh pagar depot tahanan imigresen di Bidor dan melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit. Salah seorang daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan di KM 335 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara.

Berkenaan tahanan yang ditangkap, Mohd Yusri berkata pada 9.45 malam tadi hasil maklumat orang awam, pasukan operasi khas polis berjaya menahan seorang lelaki etnik Rohingya itu di Felcra Jalan Kachu, Tapah.

Katanya pasukan operasi khas polis juga berjaya menangkap lelaki etnik Rohingya pada 3.35 pagi tadi, manakala seorang lagi lelaki Rohingnya ditahan di Batu Dua Jalan Pahang, Tapah pada 3.55 pagi tadi.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) Perak menyeru orang ramai bekerjasama dalam mengesan tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor dan juga tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi situasi semasa.

“Kejayaan yang amat dibanggakan sepanjang operasi ini dijalankan dengan jumlah penangkapan yang telah dibuat. Operasi mengesan dan menangkap akan diteruskan sehingga tempoh tertentu,” katanya.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button