JENAYAH & MAHKAMAH

Pembantu pegawai kesihatan maut nahas empat kenderaan di Jalan Jerantut–Temerloh

TEMERLOH – Seorang pembantu pegawai kesihatan maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 26 Jalan Jerantut–Temerloh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.41 pagi itu, mangsa R. Sathiyan, 43, yang memandu Proton Saga disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Nasyim Bahron berkata, kemalangan tersebut melibatkan kereta dipandu mangsa, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, trak pikap Toyota Hilux serta sebuah lori.

“Kemalangan berlaku semasa pemandu Perodua Alza dari arah Temerloh menuju ke arah Jerantut, berhenti di tengah jalan untuk membelok masuk ke simpang di sebelah kanan.

“Kemudian lori yang datang dari belakang telah hilang kawalan dan langgar belakang Perodua Alza menyebabkan MPV berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta Proton Saga yang sedang menuju ke arah Temerloh.

“Susulan itu sebuah trak pikap yang sedang datang dari belakang kereta Proton Saga tidak dapat mengelak lalu terlanggar kereta berkenaan,” katanya, di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button