JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita maut dilanggar lori ketika tukar tayar kenderaan

SEREMBAN – Seorang wanita maut dipercayai akibat dirempuh sebuah lori ketika sedang menukar tayar kereta di Kilometer 260.6, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah Selatan di sini pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman, siasatan awal mendapati ketika kejadian, pemandu Proton X50, iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke Senawang.

“Apabila sampai di lokasi kemalangan, SUV dipandunya dipercayai mengalami kerosakan iaitu tayar belakang sebelah kanan pancit. Pemandunya (kemudian) dikatakan memberhentikan motokar di lorong kecemasan.

“Bagaimanapun, ketika sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun di lorong kiri dan dipercayai bergesel dengan pemandu kereta itu,” katanya.

Tambahnya, akibat kemalangan, pemandu SUV yang mengalami kecederaan parah di anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Jasad mangsa dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button