JENAYAH & MAHKAMAH

Gagal lapor rasuah lebih RM80,000, pegawai bank didenda RM36,000

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai bank didenda RM36,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan gagal melaporkan penerimaan rasuah berjumlah lebih RM80,000 sejak lima tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Iskandar Aziz, 45, selepas dia membuat pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Noor Iskandar didakwa gagal melaporkan penerimaan suapan berjumlah RM80,123.60 yang dimasukkan melalui enam transaksi deposit tunai ke dalam akaun bank miliknya dan isterinya.

Wang berkenaan diterima daripada dua individu serta sebuah syarikat, CSA Infinite Consultancy sebagai balasan membantu permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan CSA Academy Sdn Bhd secara serentak di beberapa institusi kewangan lain.

Kesalahan itu dilakukan di dua cawangan bank di Setia Alam dan Jalan Maarof, di sini, antara 5 Oktober 2021 hingga 11 Mei 2023.

Noor Iskandar didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, peruntukan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, peguam Sean Dudley yang mewakili Noor Iskandar memohon hukuman berbentuk denda dengan alasan anak guamnya kini bekerja sebagai penghantar barang dan mempunyai tanggungan keluarga.

“Pendapatan yang rendah itu digunakan untuk menyara dua anak, menjaga ibu bapanya serta ibu mentua yang separuh lumpuh akibat strok.

“Tertuduh sendiri adalah pesakit tekanan darah tinggi yang memerlukan rawatan dan perubatan secara berterusan.

“Beliau juga sudah memberikan kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan dan tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button